PENYELARAS PROGRAM

PN. NORANI BINTI ABD. RAHIM

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

Kemahiran berkomunikasi merupakan aset penting pada diri setiap individu. Sebagai hab pengucapan awam, Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK) bertanggungjawab membantu mengembangkan potensi ini bermula di peringkat sekolah rendah.

PETAH diharapkan menjadi platform membentuk kemenjadian murid dalam berkomunikasi seperti yang dihasratkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013-2025).  Kemenjadian ini termasuklah kelancaran berbahasa beraras tinggi, atribut diri, keterampilan, personaliti di samping memupuk sifat kepemimpinan, keberanian, dan keyakinan diri khususnya sewaktu berucap di khalayak ramai.

Bermula dengan cetusan idea, merancang modul,  dan melaksanakan program berskala besar adalah fasa yang dilalui bagi membangunkan jenama PETAH. Dengan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki oleh pensyarah, modul yang komprehensif dapat dihasilkan berdasarkan trend melangkah ke hadapan selari dengan dinamiknya dunia pendidikan.

Selain kepakaran pensyarah, keupayaan PETAH turut mendapat kepercayaan dan sokongan daripada pihak pengurusan IPGKIK dan juga komuniti pendidik yang percaya bahawa inilah program terbaik yang dapat memberikan nafas baharu dalam seni pengucapan awam alaf baharu. Kategori PETAH termasuklah Bicara Tuntas (seni pembentangan), Bual Cerita (seni bercerita) dan Bicara Interaktif (seni kepengacaraan). Semua kategori ini berbeza format daripada mana-mana pertandingan yang ada di negara ini kerana diubahsuai agar lebih dinamik dan ke arah revolusi industri 4.0.

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua penulis yang komited menghasilkan sesuatu produk yang berkualiti dan berimpak tinggi.  Kerjasama padu semua pihak juga menjadi pemangkin kemenjadian  PETAH. Semoga PETAH akan terus berjaya dan dapat dimanfaatkan kepada generasi muda.

Sekian. Terima kasih.