Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera. Syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan izin-Nya saya berpeluang mengabadikan kata alu-aluan dalam buku program PETAH 2018 anjuran Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas, Kuala Lumpur ini.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas(IPGKIK) yang berjaya menganjurkan program PETAH. Program ini sangat bermanfaat kepada murid-murid dalam usaha memperkasakan kemahiran berbahasa dan komunikasi.
Bagi pihak Kementerian Pendidikan Malaysia umumnya, penghargaan tertinggi diucapkan kepada IPGKIK kerana program ini amat menyumbang kepada pembentukan kemenjadian murid yang merujuk Anjakan 2 dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dan Pendidikan Alaf Ke-21. Dalam hal ini, semua pihak yang terlibat dalam bidang pendidikan di negara ini perlu memastikan setiap murid profisien dalam berbahasa. PETAH amat membantu dalam pemantapan bahasa Melayu murid- murid yang menyertai program ini.
Pada hemat saya, penganjuran program PETAH dapat membantu ke arah memartabatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Hal ini menyentuh Perkara 152 dalam Perlembagaan Malaysia yang memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu. Oleh sebab itu, dapat dikatakan bahawa program selama dua hari yang terbuka kepada murid-murid sekolah rendah ini mampu membentuk kemahiran berbahasa dan berkomunikasi dalam kalangan mereka. Dua fasa utama PETAH, iaitu bimbingan seni pengucapan awam dan pertandingan Bintang PETAH adalah selari dengan aspirasi kemenjadian berbahasa murid yang bakal mewarisi dunia bahasa negara.
Saya juga dimaklumkan bahawa PETAH dianjurkan bertujuan memupuk sifat kepimpinan, keberanian, dan keyakinan diri murid-murid apabila berucap di khalayak, sesuai dengan transformasi seni penyampaian informasi alaf baharu yang memerlukan kreativiti. Hal ini berkait rapat dengan keterampilan murid dalam berkomunikasi terutama dari aspek kelancaran berbahasa aras tinggi, atribut diri, keterampilan, dan personaliti.
Oleh sebab itu, dapat dikatakan bahawa IPGKIK telah mengambil peranan secara proaktif melalui penganjuran PETAH untuk melahirkan murid-murid yang petah berbicara dalam menyampaikan informasi. Kesungguhan IPGKIK yang menganjurkan PETAH 2018 secara berkolaboratif dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), dan beberapa pihak yang lain membuktikan hasrat penganjuran demi membangunkan potensi kebahasaan murid agar berkemahiran tinggi, kreatif, dan berfikiran kritis iaitu memenuhi tuntutan revolusi Industri 4.0.
Akhir kata, semoga kerja buat dan matlamat bersama-sama pelbagai pihak dalam membangunkan potensi murid-murid yang menjadi peserta dan murid keseluruhannya dalam kemahiran berkomunikasi dan berbahasa Melayu akan menjadi kenyataan melalui PETAH 2018.
Sekian. Terima kasih.