Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Terima kasih kerana memberikan kesempatan kepada saya untuk menyatakan sepatah dua kata sempena PETAH 2018. Penganjuran PETAH julung kali ini telah membuka lembaran alaf baharu dalam dunia pengucapan awam bagi murid- murid sekolah rendah.
PETAH merupakan program yang berimpak tinggi untuk meningkatkan penguasaan kemahiran berbahasa dalam kalangan murid-murid sekolah rendah. PETAH juga menjurus kepada seni pengucapan awam yang dapat dikembangkan kepada sesuatu isu yang lebih besar dengan menggunakan kreativiti dan teknologi sebagai nilai tambah bermakna.
Justeru, bengkel ini bermatlamat untuk membangunkan dan mengembangkan idea serta membina pemikiran yang terarah dalam usaha meningkatkan kemahiran berkomunikasi secara efektif kepada generasi muda.
PETAH 2018 juga adalah selaras dengan usaha IPGKIK untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dan berkesan dalam kalangan murid peringkat rendah. Penganjuran PETAH pada kali ini diharapkan dapat membentuk nilai-nilai kesantunan berbahasa yang tinggi, seterusnya melahirkan kemenjadian murid.
Sekalung penghargaan dan syabas kepada pensyarah Jabatan Pengajian Melayu, Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas atas usaha yang gigih dalam menerbitkan modul PETAH yang akan digunakan untuk program ini.
Akhir kalam, saya mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pelajaran Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai rakan kolaboratif utama dalam penganjuran PETAH 2018 ini. Semoga PETAH ini akan diteruskan dan dapat diketengahkan di peringkat yang lebih tinggi.
Sekian. Terima kasih.