PENGARAH IPG KAMPUS ILMU KHAS


Assalamualaikum W.B.T. dan  Salam Sejahtera. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah S.W.T. atas keizinan-Nya dapat saya menitipkan kata alu-aluan dalam  buku  program  PETAH  tahun ini.  Setinggi-tinggi penghargaan kepada warga IPGKIK, khususnya para pensyarah dan siswa guru yang telah bekerja keras dalam memastikan kejayaan penganjuran program PETAH 2018. Pastinya penganjuran program sebesar ini memerlukan perancangan awal dan kerjasama jitu antara semua pihak, khasnya antara para pensyarah dan siswa guru yang dibimbing.

Di samping program ini bermanfaat kepada murid-murid yang menjadi peserta, siswa guru pula akan memperoleh kemahiran dalam pengurusan untuk menjayakan sesuatu program.

Bagi pihak IPGKIK, sekalung budi dan tahniah diucapkan kepada murid-murid, guru-guru, dan pihak sekolah yang sudi menyertai program PETAH 2018. IPGKIK merancang dan melaksanakan PETAH dengan hasrat memberikan sumbangan bagi membentuk kemenjadian murid dalam berkomunikasi  dan berbahasa Melayu. Sebagai pihak yang  terlibat dalam memperkasakan sistem pendidikan negara, IPGKIK amat berharap PETAH dapat meningkatkan profisien murid dalam berbahasa seperti yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, iaitu murid-murid yang mengikuti sistem pendidikan di negara ini perlu menguasai sekurang-kurangnya dua bahasa.

Transformasi seni penyampaian informasi alaf baharu ini memerlukan kreativiti penyampai, hal ini menjadi fokus penganjuran PETAH. IPGKIK berharap dapat melahirkan murid-murid yang petah dan memanfaatkan kreativiti ketika menyampaikan maklumat. Oleh sebab itu, program PETAH telah direka bentuk dengan mengambil kira dua fasa utama iaitu bimbingan seni pengucapan awam, dan diakhiri dengan pertandingan Bintang PETAH. Tidak diragui bahawa program selama dua hari ini mampu membentuk kemahiran berbahasa dan berkomunikasi murid.Transformasi penyampaian juga adalah selari dengan aspirasi sistem pendidikan negara, iaitu memenuhi tuntutan alaf baharu.

Penganjuran PETAH juga mengambil kira pemupukan sifat kepimpinan, keberanian, dan keyakinan diri murid ketika berkomunikasi dengan khalayak. Petanda yang jelas ialah penguasaan berbahasa aras tinggi, atribut diri, keterampilan, dan personaliti seorang murid ketika berkomunikasi dalam masyarakat. Murid yang dapat berkomunikasi dan berbahasa dengan baik secara tidak langsung menguasai kemahiran interpersonal dan intrapersonal.

Akhirnya, ucapan terima kasih kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Bahagian Teknologi Pendidikan ( BTP), dan pihak lain yang sudi menjadi rakan kolaboratif demi kejayaan penganjuran PETAH 2018. Hasrat murni yang diimpikan bersama tidak lain tidak bukan ialah mengupayakan transformasi seni penyampaian informasi alaf baharu demi membangunkan potensi komunikasi dan kebahasaan murid agar berkemahiran tinggi, kreatif, dan berfikiran kritis.

Sekian. Terima kasih.